Petang semalam terbaca satu artikel mengenai tips
dalam memilih teman baik atau BFF (bak kata Amir). Arwah ayah pernah
berpesan,
Berhati-hatilah dalam memilih kawan, kerana kawan boleh mencerminkan peribadi seseorang. Sebaik baiknya, berkawanlah kerana Allah untuk mencari redhaNya.
Betul kata arwah ayah, selari dengan hadith
Rasulullah SAW,
Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu
hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya. ~ Hadis riwayat
Abu Daud
Bagaimanapun, apabila kita memilih kawan, ada
yang ‘mengecop’ kita pilih bulu dan perasan bagus. Tak kurang juga yang
mengkritik tindakan seumpama itu dengan mengada-ngada serta tidak wajar
dijadikan amalan.
Namun hakikatnya, faktor memilih kawan amat
dititik-beratkan dalam agama kita. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang
mulia, kerana kawan atau sahabat memainkan peranan dalam membentuk personaliti
individu. Maka, carilah kawan baik yang cara hidupnya selari dengan petunjuk
al-Quran dan al-Sunnah. Tetapi dalam kita mencari kawan yang baik, kita
seharusnya terlebih dahulu memperbaiki diri sendiri dan menjadi kawan yang
‘terbaik’ untuk sesiapa yang menjadi kawan kita. Barulah fair!
Dalam artikel yang saya baca, berikut adalah 5
tips dalam memilih sahabat yang dipetik dari kitab Hidayatul Salikin
- Pilih kawan yang berakal. Berkawan dengan orang yang jahil akan menimbulkan persengketaan.
- Baik dari segi peribadi dan akhlaknya. Elakkan bersahabat dengan orang yang jahat dan buruk perangainya kerana ianya akan mempengaruhi kita.
- Orang yang soleh. Jangan berkawan dengan orang yang fasik kerana ianya akan sentiasa mengekalkan dosa yang besar dan kecil.
- Jangan berkawan dengan orang yang sangat kasih pada dunia. Kasih pada dunia di sini bermaksud sesuatu perkara yang bertentangan dengan suruhan Allah. Jika berkawan dengan orang yang sebegini, dia akan terikut-ikut dengan tabiat rakannya.
- Orang yang benar perkataannya. Janganlah suka berkawan dengan orang yang suka berdusta. Orang yang suka berdusta itu tidak dapat dipercayai agama dan dunianya. Demikian itu akan membawa kepada kebinasaan dunia.
Kita boleh berkawan dengan sesiapa sahaja. Namun
untuk mengangkat seseorang sebagai BFF, perhatikanlah sungguh-sungguh agamanya.
Pilihlah kawan yang baik yang boleh mendorong kita mencapai kebahagiaan di dunia
mahupun akhirat, bukan kawan yang membantutkan usaha kita ke arah itu dan
melalaikan kita kepada Maha Pencipta.
No comments:
Post a Comment